Saturday, August 30, 2014

Pemimpin kena tunjuk kesungguhan


SEHINGGA hari ini, Malaysia tidak putus-putus dihidangkan dengan senario pilihan raya kecil yang seakan-akan tidak berkesudahan walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berakhir hanya 13 bulan lalu.

Bermula daripada peletakan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh sehinggalah Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin di 

Penanti, dapat dilihat ia bagaikan suatu proses berterusan.

Banyak penganalisis politik berpendapat pilihan raya ini (selain Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Manik 

Urai ekoran daripada kematian penyandang sedia ada) adalah suatu strategi grand design yang dimainkan oleh pakatan pembangkang bagi memastikan kelangsungan momentum protes terhadap pucuk kepimpinan praperalihan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apapun pendapat atau teori dan sama ada ia benar ataupun tidak, wang yang terpaksa dibelanjakan untuk pilihan raya-pilihan raya kecil itu bukanlah sedikit jumlahnya. Justeru, jika benarlah ia sengaja dirancang walhal boleh dielakkan, ia amat mendukacitakan kerana yang dibazirkan itu ialah wang rakyat.

Menilai daripada sudut akal yang sihat, tindakan sedemikian bukanlah suatu perancangan terpuji dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan negara yang sedang menongkah arus kegawatan ekonomi sejagat.

Sewajarnya apa yang perlu diutamakan adalah pencapaian pemimpin-pemimpin setempat dan parti politik yang dipilih rakyat setahun lalu.

Sehingga saat ini, parti-parti pembangkang terus mengganggu-gugat ketenteraman negara dengan pelbagai isu dan "desakan yang bukan-bukan".

Kerajaan Malaysia di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menunjukkan kepimpinan positif dalam membawa senario politik negara ke arah fasa penyelesaian isuisu berbangkit secara menyeluruh dan bukannya secara pendekatan jangka pendek (fire-fighting) seperti yang disangka dan diharapkan oleh parti pembangkang.

Pendekatan menyeluruh ini amat penting kerana ia secara langsung menggagalkan strategi pembangkang untuk menghalakan kerajaan BN ke arah satu sudut yang mampu memusnahkan imej BN-UMNO itu sendiri.

Kita juga tidak boleh lupa bahawa sebilangan besar rakyat terdiri daripada kelompok rakyat rasional yang tidak mudah terbuai oleh hujah-hujah pesona ahli-ahli politik.

Kelompok ini sentiasa menilai dan menitikberatkan pencapaian para pemimpin dan parti yang disokong mereka bagi memastikan ia mengotakan janji-janji yang dibuat semasa kempen PRU12 lalu.

Kesungguhan mengotakan janji

Persoalan sama ada janji-janji itu sudah dikotakan atau tidak, kesungguhan untuk merealisasikannya dinilaikan sebagai usaha di landasan yang tepat.

Rakyat ingin melihat kesediaan pemimpin untuk "menyinsing lengan dan membanting tulang" dalam usaha memenangi hati mereka.

Bagi para pemimpin berjiwa rakyat, usaha mereka perlu dibuat dalam bentuk fizikal dan nyata. Aktiviti bersama rakyat tidak boleh menjadi aktiviti waktu senggang yang hanya bermusim.

Demikian juga dalam hal beramah mesra dengan masyarakat serta mengambil tahu susah senang rakyat bawahan. Setelah mengenal pasti isu rakyat, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh kejujuran serta kegigihan.

Rakyat hari ini mendambakan keringat yang keluar daripada setiap pengorbanan yang telah mereka 
curahkan. Setiap titisan keringat itu sebenarnya mewakili setiap undian dan sokongan ke atas wakil rakyat tersebut. Inilah terjemahan lahiriah kepada slogan yang menyuruh wakil rakyat 'turun padang'. Ia perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

Pendefinisian semula istilah 'turun padang'

Puas saya mendengar istilah menyuruh wakil-wakil rakyat untuk 'turun padang'. Pada fikiran saya, jikalau pemimpin tersebut dipilih oleh rakyat dan proses pemilihan itu juga dibuat di kalangan rakyat maka istilah pemimpin 'turun padang' tidak seharusnya terus wujud.

Sesungguhnya, pemimpin dan rakyat adalah dari 'padang' yang sama dan tidak perlu diumpamakan seperti golongan dewa-dewa yang hidup dalam dunia double standard sehingga dipisahkan daripada rakyat.
Pemimpin harus sedar bahawa majikan mereka sebenarnya adalah rakyat. Pemahaman mendalam ini melahirkan konsep "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".

Jika istilah 'turun padang' masih lagi terus digunakan, pastikanlah tujuan program 'turun padang' adalah tulus untuk bertemu, mendengar rintihan dan membantu rakyat.

Yang patut diutamakan ialah memastikan negara kekal berdaya saing dalam memacu ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Kepada semua wakil rakyat, jalankanlah tugas seperti tiada esok, secara bersungguh-sungguh, jujur serta jangan lari daripada tugas itu. Ingatlah, usaha yang gigih dan istiqamah perlu sentiasa disulami dengan ketelusan, keikhlasan dan kepimpinan berhemah.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: