Saturday, August 30, 2014

Mahasiswa Islam perlu fahami konsep keutamaan

KETERBATASAN mahasiswa bantut kepimpinan masa depan?

Simposium Mahasiswa Islam 2009 (SIDANA ‘09) yang diadakan di Universiti Malaya pada hari Sabtu, 28 Februari 2009 lalu telah menarik ratusan kepimpinan mahasiswa dari seluruh negara. Dalam mengimbangi kecelaruan politik negara di luar kampus dan juga penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang ketat, program perbincangan intelektual aman sebegini sepatutnya mendapat perhatian penuh kepimpinan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan sekurang-kurangnya menghantar wakil pengurusan tertinggi ke majlis perasmian SIDANA 09 yang lalu.

Ini sebenarnya cabaran kali ke-4 yang saya terima untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin mahasiswa di kampus di bawah tajuk perbandingan “Mahasiswa Luar Negara dan Mahasiswa Dalam Negara.”

Jemputan saya untuk mewakili kepimpinan NGO-NGO Malaysia telah saya guna sebaik-baik mungkin untuk berkongsi ilmu dalam merungkai pelbagai isu yang membelenggu warga kampus semua universiti di Malaysia.

Harapan ikhlas saya adalah untuk melihat mahasiswa-mahasiswi negara terus diwakili oleh kepimpinan yang mempunyai critical mind dan tidak mudah dimanipulasikan atau ditunggang oleh kepimpinan politik luar kampus.

Islam, jawapan kepada semua kekeliruan

Hari ini begitu ramai pemimpin Melayu yang menyeru bangsa Melayu untuk bangkit dan mencapai wawasan-wawasan besar seperti pembentukan personaliti agung (towering personality), memartabatkan ketuanan Melayu dan sebagainya.

Memang benar mereka cuba menjadi pemimpin-pemimpin Melayu yang idealis namun seingat saya, sewaktu berdialog bersama pemimpin-pemimpin begini, persoalan asas yang saya duga seperti “Siapakah aku seorang Melayu?" masih lagi gagal dijawab mereka dengan baik.

Kegagalan untuk menjawab persoalan fundamental seperti itu adalah jawapan mengapa permasalahan hari ini berlaku. Sudah terang lagi bersuluh. Permasalahan hari ini berpunca daripada isu jati diri dan isu roh yang lemah. Apabila roh lemah, kita mudah dilanda kekeliruan dan ramai juga yang mengambil kesempatan. 

Sebaliknya apabila roh kita kukuh, biar dilanda pelbagai cabaran sekalipun, Melayu dan Islam tetap utuh.

Melayu dan Islam perlu bersatu

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita Ehud Olmert dari parti Kadima yang diangkat menjadi Perdana Menteri Israel sekalipun jumlah peratusan undi rakyat yang diperolehnya kurang satu peratus daripada parti yang sebenarnya meraih undian terbesar pada pilihan raya umum Israel yang lalu.

Dalam situasi sama pada tahun 1969, Parti Perikatan yang diketuai oleh Allahyarham Tun Abdul Razak berjaya mentadbir Pulau Pinang sekalipun kalah dalam pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri setelah parti Gerakan yang diterajui oleh Allahyarham Syed Hussein Al-Atas membuat keputusan untuk menyertai Perikatan.

Kedua-dua senario ini dicapai atas kata sepakat parti-parti bukan komponen kerajaan yang masih mahu wawasan bangsa dan agama dicapai sekalipun mereka memegang manifesto perjuangan yang sedikit berbeza.

Dalam kecelaruan politik hari ini, Melayu dan Islam juga perlu bersatu agar kita terus dapat memastikan isu-isu negara berada dalam ruang lingkup yang masih boleh dikawal. Adalah menjadi amanah kita juga sebagai kepimpinan muda untuk merancakkan usaha mencari persamaan dan bukannya perbezaan agar bangsa Melayu dan agama Islam bersatu di Malaysia.

Tetapi dalam keadaan kita perlu bersatu, ada juga yang tergamak menganjurkan perbahasan terbuka semata-mata untuk meraih populariti.

Gerak kerja kepimpinan efektif

Kepimpinan mahasiswa di kampus dan parti-parti politik perlu mengkaji visi, aspirasi dan kerangka gerak kerja efektif yang menjadi driving force kepada tindak balas NGO-NGO terhadap permasalahan masyarakat.
Selain daripada berjuang berpandukan al-Quran, Hadis dan Sunnah, Ijma’ serta Qiyas, terdapat empat prinsip gerak kerja yang saya amalkan dan boleh diguna pakai dalam perjuangan kepimpinan muda.

Pertamanya, Islam adalah agama syumul yang cukup lengkap mengatur cara politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Kedua, keutamaan hidup adalah mendahulukan (i) Allah; (ii) diri sendiri; (iii) keluarga; (iv) jiran, sahabat dan saudara mara; dan (v) masyarakat. Ketiga, memegang keyakinan tinggi bahawa Allah jualah yang sebenar-benarnya memberikan rezeki. Keempat, laksanakan amanah dan tanggungjawab seperti tiada hari esok.

Dalam prinsip gerak kerja kedua, keutamaan seorang mahasiswa dalam pendidikan jatuh dalam kategori keutamaan untuk diri sendiri. Ini bermaksud, sekiranya pemimpin mahasiswa itu tidak cemerlang dalam pelajarannya maka dia tidak layak untuk mengutamakan orang ramai yang dipimpinnya.

Fikir-fikirkanlah, ramai juga pemimpin mahasiswa masa kini yang tidak memahami konsep keutamaan ini. Sebagai contoh, graduan yang keluar universiti, pandai-pandai terjun ke arena politik mendahulukan masyarakat, sedangkan belum lagi masuk ke dunia kerjaya sebenar dan memperoleh pendapatan kukuh untuk menyara keluarga.

Tidak kira sama ada kita belajar di institusi mana sekalipun tetapi jika pendidikan awal tidak diasuh dengan pendidikan agama Islam dan sejarah bangsa Melayu dan Malaysia, maka pemimpin yang kita lahirkan akan memakan diri, menjual negara dan mengamalkan strategi ‘politik gila-gila’ !

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3BrnvDiIy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

ISU PPSMI: BAHASA MELAYU TETAP UNGGUL

TUNJUK perasaan jalanan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) minggu lalu telah memaksa saya menyelami perjuangan mengenai isu ini.
Memang benar, sekalipun Matematik dan Sains adalah dua mata pelajaran sahaja tetapi kedua-dua mata pelajaran itu adalah asas kepada pelbagai pecahan ijazah serta sijil profesional seperti kejuruteraan, perubatan, arkitektur dan sebagainya. Apa yang ditakuti adalah apabila bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu ketamadunan Melayu dunia.
Namun demikian, ramai juga rakyat merasakan niat murni kerajaan dalam PPSMI patut diteruskan dalam membentuk serta menyiapkan bangsa yang mempunyai tahap survival tinggi demi memudahkan ia bersaing di pentas dunia.
Bagi saya ini adalah dua cadangan yang perlu dipertimbangkan sebijak mungkin kerana PPSMI adalah suatu saranan yang bernatijahkan kebaikan namun ditentang sebilangan rakyat Malaysia.
Jika kita kaji usaha pembangunan e-book digital dunia di peringkat akhir yang diusahakan syarikat Amazon.Com, kita akan dapati buku berbentuk digital bakal mengambil alih percetakan buku masa hadapan.
Struktur percetakan buku di peringkat global juga menunjukkan martabat golongan penterjemah bahasa diangkat menjadi golongan terpenting yang memegang amanah utama untuk membawa generasi masa hadapan memenuhi ilmu di luar jangkauan.
Oleh demikian, persoalan mengenai sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Malaysia sudah pun terjawab sebenarnya! Kedua-duanya masih relevan selagi golongan penterjemah bahasa Melayu dan Inggeris terus wujud, masih belum malas, masih boleh menaip dan masih boleh dipertanggungjawabkan.
Yang kesalnya, tindakan tunjuk perasaan jalanan dirasakan agak keterlaluan sedangkan semua tahu bahawa keputusan kajian mengenai isu PPSMI sedang dirumuskan oleh pihak kerajaan. Untuk menyedapkan hati, biarlah saya yakin ia didalangi pihak pembangkang.
KRISIS EKONOMI PALING DAHSYAT
SEJAK PERANG DUNIA KEDUA
Pada hari Jumaat lalu, Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) terus menjunam di bawah 850 mata, suatu tahap yang amat rendah sejak tahun 2006. Sekalipun saya masih tidak setuju dengan kebanyakan rakyat meletakkan KLCI sebagai indeks kedudukan ekonomi Malaysia, namun indeks ekonomi lain seperti peratus pertumbuhan ekonomi, KDNK, indeks pengguna dan pelaburan asing langsung (FDI), juga rata-rata menunjukkan ekonomi Malaysia sudah berada di tahap zon kritikal.
Ini terbukti setelah Datuk Seri Najib mengisytiharkan Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua Malaysia, disusuli pula dengan tindakan Perdana Menteri Jepun minggu lalu yang mengeluarkan arahan untuk menyiapkan Pakej Rangsangan Ekonomi Jepun Ketiga. Senario ekonomi kini diistilahkan Jepun sebagai ‘krisis ekonomi paling genting selepas Perang Dunia Kedua’.
Kenaikan harga minyak saranan Iran melalui OPEC sememangnya berjaya membuat rejim Amerika-NATO terkedu terhadap cadangan tindakan untuk menyerang Iran; negara yang dituduh Bush memiliki senjata pemusnah nuklear. Sekalipun cadangan Iran itu adalah untuk sementara, namun kesannya berjaya menghancurkan empayar ekonomi kapitalis anjuran Amerika-Yahudi bukan sahaja di Amerika tetapi juga menarik jatuh sama blok-blok ekonomi lain. Ini kerana sistem ekonomi kapitalis termasuk sistem perdagangan bebas WTO/AFTA sudah berakar umbi di serata dunia.
Ternyata dakwaan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap penyangak matawang Soros sekitar 1997-1998 membuatkan saya begitu yakin bahawa sistem kapitalis akan musnah seperti sistem ekonomi sosialisme dan komunisme.
Membuat keuntungan daripada sistem tukaran asing melalui ‘spekulasi serta ramalan’ adalah haram. Konsep sistem kewangan Islam yang bersandarkan aset secara realitinya adalah hakiki dan kini dibuktikan kebal daripada mana-mana krisis ekonomi.
Buka-bukalah mata, sekalipun kita berdiri megah sebagai pusat kecemerlangan sistem kewangan Islam dunia, Malaysia masih lagi belum terlepas daripada krisis ekonomi kerana kebanyakan sistem ekonomi kita dipengaruhi kuat oleh ‘spekulasi serta ramalan’ terutamanya dalam jual-beli saham dan komoditi, kadar penetapan pembiayaan kewangan dan harga bon-bon terbitan, kelulusan pembiayaan perbankan dan keputusan untuk menentukan harga minyak.
Selagi sistem ekonomi Malaysia tidak bersandarkan pada realiti dan kewujudan sebenar, selagi itulah kita tidak akan merdeka dan sentiasa terjerumus bersama setiap kali berlakunya krisis ekonomi dunia.
Secara ringkasnya, banyak lagi perlu kita lakukan untuk menghadapi krisis ekonomi dunia, tetapi sebaliknya kita masih lagi khayal berseronok melayan kerenah politik negara. Krisis ekonomi paling dahsyat selepas Perang Dunia Kedua sudah pun tiba dan tidak lagi dapat kita elakkan bak kata pepatah Melayu, ‘membujur lalu melintang patah’.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0317&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm&arc=hive#ixzz3BrkoB7Zm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

NGO Melayu - Katalis penyatuan Melayu, Islam

USAHA untuk mencari titik pertemuan Melayu dan Islam seperti yang dititahkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sewaktu upacara ulang tahun keputeraan baginda baru-baru ini perlu diterima sebagai perjuangan baru sepanjang zaman bagi setiap individu yang beragama Islam dan bergelar Melayu.

Tidak kita nafikan ramai kecewa dengan kenyataan terbuka Datuk Seri Mohammad Nizar bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO dalam merealisasikan kehendak Sultan Azlan Shah. Pertikaian sama ada 'UMNO lebih memerlukan Pas dan bukan sebaliknya' menunjukkan bahawa kenyataan bekas Menteri Besar Perak itu berbaur emosi, individualistik dan tidak mewakili Pas secara keseluruhan.

Hakikatnya, saranan Sultan Azlan Shah adalah murni dan mempunyai nilai kerohanian yang tinggi. Pas yang berjuang atas imej Islam sepatutnya berlapang dada dan menjadi yang paling awal terpanggil untuk menyahut saranan Sultan Perak. Sebaliknya, saranan tersebut ditolak mentah-mentah atas alasan-alasan tersendiri.

UMNO pula perlu mengkaji segala alasan mengapa kata-kata sehingga boleh membawa persepsi 'durhaka pada Raja' itu dibuat oleh seorang kepimpinan tertinggi Pas di peringkat negeri.

Kalau hari ini UMNO begitu kuat melaungkan peri pentingnya ketaatan dan kedaulatan Raja Melayu, di ruang ini jugalah UMNO perlu buktikan kedudukannya dalam merealisasikan saranan Sultan Perak itu.

Dalam hal ini juga, perdebatan UMNO-Pas seperti yang dianjurkan oleh pemimpin muda sewaktu kempen pemilihan UMNO 2009 tidak sepatutnya berulang kerana ia menunjukkan ketidakmatangan dan menjarakkan lagi perbezaan UMNO-Pas.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Melayu juga perlu menjadi pemangkin (katalis) penyatuan Melayu dan 

Islam seperti yang disarankan oleh Sultan Azlan dan bukan terus melaga-lagakan parti-parti politik Melayu dengan pelbagai kenyataan sehingga menimbulkan kemusykilan terhadap kedudukan NGO sebagai badan perwakilan rakyat di peringkat akar umbi yang bebas daripada politik.

Sesungguhnya mengikut kajian peringkat akar umbi persatuan kami, usaha ke arah penggabungan UMNO-Pas adalah perkara yang paling ditakuti oleh barisan parti-parti pembangkang lain. Ini adalah kerana gabungan 

UMNO dan Pas secara majoriti mampu memberi sokongan solid undian Melayu setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Jika kita kaji secara halus dan mendalam isu pergeseran UMNO-Pas hari ini adalah berpunca daripada individu-individu dalam kedua-dua parti itu sendiri dan tiada kaitan dengan wawasan serta objektif parti politik masing-masing.

Daripada perspektif hukum Islam pula, UMNO bukan sekadar menabur janji malahan telah membuktikan usahanya segiat mungkin ke arah pelaksanaan menurut sistem hukum Islam sepenuhnya.

Antara usaha UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional adalah dengan wujudnya Undang-Undang Syariah 

Kekeluargaan Islam yang setaraf dengan Mahkamah Sivil (Perkara 121 1(A) Perlembagaan Persekutuan) melalui pelaksanaan yang disokong oleh majlis dan jabatan agama Islam seluruh Malaysia; Sistem kewangan dan perbankan Islam yang menjadi pusat rujukan dunia; Tabung Haji - sebuah institusi terbaik dunia dalam mempermudahkan rakyat mengerjakan ibadah haji dan umrah; Sistem pungutan zakat dan Baitul Mal; Sistem persijilan makanan halal yang diiktiraf dunia; dan banyak lagi.

Hukum hudud adalah hukum Allah yang sentiasa dekat dengan jiwa Islam dan jika persoalan itu menjadi alasan Pas untuk tidak bekerjasama dengan UMNO, ia adalah alasan kurang tepat. Hari ini, apabila hukum hudud dicadangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan, ramai juga ADUN UMNO yang mengangkat tangan bersetuju tetapi apabila diusulkan mengenai pelaksanaannya, perbincangan terhenti.

Memang kita akui bahawa usaha menterjemahkan hudud melalui pelaksanaannya seratus peratus ke atas sebuah negara pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia adalah suatu cabaran besar.

Di sinilah NGO Melayu boleh memainkan peranan dalam menggerakkan para intelektual Melayu dan Islam supaya berusaha mencari penyelesaian ke arah sistem pelaksanaan dengan mengambil kira tahap kesediaan penerimaan rakyat bukan Islam mengenai hukum tersebut.

Usaha ini bak kata pepatah Melayu, seperti 'menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak'.

Dalam dada-dada akhbar dan majalah media arus perdana juga sudah banyak membincangkan kedudukan hukum hudud yang sebenarnya sudah sedia dilaksanakan ke atas orang Islam dan Melayu melalui Undang-Undang Syariah Islam dan Kanun Keseksaan (Penal Code). Semoga kebaikan, keunikan dan kelebihan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang Islam akhirnya terserlah dan diterima ramai.

Selain itu, ada juga pemimpin-pemimpin kanan negara yang menyatakan usaha ke arah penggabungan UMNO-Pas adalah tidak perlu kerana sejarah telah membuktikan bahawa ia suatu usaha yang sia-sia.

Bagi saya, faktor sejarah tidak ada kena mengena langsung dengan masa hadapan. Jika alasan yang sama digunakan, sudah pasti negara yang kita cintai, Malaysia hari ini masih lagi belum merdeka. Pejuang-pejuang Melayu sejak dari zaman Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Ngah Ibrahim, Datuk Bahaman, Dato' Onn Jaafar hingga Tunku Abdul Rahman terus-terusan yakin pada usaha positif mencari kemerdekaan sehingga ia menjadi kenyataan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Penyatuan Melayu-Islam adalah ternyata suatu usaha yang jujur dan ikhlas yang boleh membawa bangsa Melayu dan agama Islam ke tahap yang tidak terdaya disaingi oleh pesaing-pesaing lain. Ia perlu menjadi perjuangan abadi sepanjang zaman dan sentiasa direnungkan sebagai perjuangan yang belum selesai.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)



Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemimpin kena tunjuk kesungguhan


SEHINGGA hari ini, Malaysia tidak putus-putus dihidangkan dengan senario pilihan raya kecil yang seakan-akan tidak berkesudahan walaupun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) berakhir hanya 13 bulan lalu.

Bermula daripada peletakan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah di Parlimen Permatang Pauh sehinggalah Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin di 

Penanti, dapat dilihat ia bagaikan suatu proses berterusan.

Banyak penganalisis politik berpendapat pilihan raya ini (selain Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Manik 

Urai ekoran daripada kematian penyandang sedia ada) adalah suatu strategi grand design yang dimainkan oleh pakatan pembangkang bagi memastikan kelangsungan momentum protes terhadap pucuk kepimpinan praperalihan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apapun pendapat atau teori dan sama ada ia benar ataupun tidak, wang yang terpaksa dibelanjakan untuk pilihan raya-pilihan raya kecil itu bukanlah sedikit jumlahnya. Justeru, jika benarlah ia sengaja dirancang walhal boleh dielakkan, ia amat mendukacitakan kerana yang dibazirkan itu ialah wang rakyat.

Menilai daripada sudut akal yang sihat, tindakan sedemikian bukanlah suatu perancangan terpuji dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan negara yang sedang menongkah arus kegawatan ekonomi sejagat.

Sewajarnya apa yang perlu diutamakan adalah pencapaian pemimpin-pemimpin setempat dan parti politik yang dipilih rakyat setahun lalu.

Sehingga saat ini, parti-parti pembangkang terus mengganggu-gugat ketenteraman negara dengan pelbagai isu dan "desakan yang bukan-bukan".

Kerajaan Malaysia di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak sudah menunjukkan kepimpinan positif dalam membawa senario politik negara ke arah fasa penyelesaian isuisu berbangkit secara menyeluruh dan bukannya secara pendekatan jangka pendek (fire-fighting) seperti yang disangka dan diharapkan oleh parti pembangkang.

Pendekatan menyeluruh ini amat penting kerana ia secara langsung menggagalkan strategi pembangkang untuk menghalakan kerajaan BN ke arah satu sudut yang mampu memusnahkan imej BN-UMNO itu sendiri.

Kita juga tidak boleh lupa bahawa sebilangan besar rakyat terdiri daripada kelompok rakyat rasional yang tidak mudah terbuai oleh hujah-hujah pesona ahli-ahli politik.

Kelompok ini sentiasa menilai dan menitikberatkan pencapaian para pemimpin dan parti yang disokong mereka bagi memastikan ia mengotakan janji-janji yang dibuat semasa kempen PRU12 lalu.

Kesungguhan mengotakan janji

Persoalan sama ada janji-janji itu sudah dikotakan atau tidak, kesungguhan untuk merealisasikannya dinilaikan sebagai usaha di landasan yang tepat.

Rakyat ingin melihat kesediaan pemimpin untuk "menyinsing lengan dan membanting tulang" dalam usaha memenangi hati mereka.

Bagi para pemimpin berjiwa rakyat, usaha mereka perlu dibuat dalam bentuk fizikal dan nyata. Aktiviti bersama rakyat tidak boleh menjadi aktiviti waktu senggang yang hanya bermusim.

Demikian juga dalam hal beramah mesra dengan masyarakat serta mengambil tahu susah senang rakyat bawahan. Setelah mengenal pasti isu rakyat, laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh kejujuran serta kegigihan.

Rakyat hari ini mendambakan keringat yang keluar daripada setiap pengorbanan yang telah mereka 
curahkan. Setiap titisan keringat itu sebenarnya mewakili setiap undian dan sokongan ke atas wakil rakyat tersebut. Inilah terjemahan lahiriah kepada slogan yang menyuruh wakil rakyat 'turun padang'. Ia perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.

Pendefinisian semula istilah 'turun padang'

Puas saya mendengar istilah menyuruh wakil-wakil rakyat untuk 'turun padang'. Pada fikiran saya, jikalau pemimpin tersebut dipilih oleh rakyat dan proses pemilihan itu juga dibuat di kalangan rakyat maka istilah pemimpin 'turun padang' tidak seharusnya terus wujud.

Sesungguhnya, pemimpin dan rakyat adalah dari 'padang' yang sama dan tidak perlu diumpamakan seperti golongan dewa-dewa yang hidup dalam dunia double standard sehingga dipisahkan daripada rakyat.
Pemimpin harus sedar bahawa majikan mereka sebenarnya adalah rakyat. Pemahaman mendalam ini melahirkan konsep "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".

Jika istilah 'turun padang' masih lagi terus digunakan, pastikanlah tujuan program 'turun padang' adalah tulus untuk bertemu, mendengar rintihan dan membantu rakyat.

Yang patut diutamakan ialah memastikan negara kekal berdaya saing dalam memacu ke arah kemajuan dan kemakmuran.

Kepada semua wakil rakyat, jalankanlah tugas seperti tiada esok, secara bersungguh-sungguh, jujur serta jangan lari daripada tugas itu. Ingatlah, usaha yang gigih dan istiqamah perlu sentiasa disulami dengan ketelusan, keikhlasan dan kepimpinan berhemah.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Membudayakan 'Google' di kalangan generasi 'Y'

PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.
Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.
Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.
Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.
Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.
Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.
Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan
Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.
Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.
Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?
Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.
Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.
Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.
Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.
Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.
Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.
Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'
Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.
Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.
Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.
Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.
Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.
Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm&arc=hive#ixzz3Brdv2htr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tangkap seladang, pulas tanduknya


PEPATAH Inggeris, Take The Bull By The Horns atau “tangkap seladang, pulas tanduknya” adalah luahan amanat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pertemuan dengan pemimpin- pemimpin pelajar Australia dan New Zealand di Perth, baru-baru ini.

Sememangnya kita sudah mempunyai jawapan kepada semua isu negara dan segala permasalahan rakyat.

Oleh itu, kita sepatutnya berani berdepan dan menangani pihak-pihak yang memutar- belitkan fakta dan mengelirukan pemikiran rakyat.

Tidak kita nafikan, rakyat yang tidak mempunyai “mata hati yang tajam” adalah mangsa mudah untuk dikelirukan oleh pakatan pembangkang dengan ‘kisah-kisah rekaan’ demi mengalih perhatian masyarakat daripada ‘kisah sebenar’ mengenai kegagalan dan kelemahan kepimpinan mereka.

Selain daripada kelompok ini, golongan sasaran kedua adalah mereka yang sentiasa bersedia untuk diperhambakan dan dijadikan ‘tunggangan’ untuk memporak-perandakan keharmonian negara dengan hanya upah tidak seberapa.

Jentera kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya terus-terusan bergerak dalam saf yang lebih tersusun untuk meyakinkan ahliahlinya bahawa semua hujah yang dilemparkan oleh gabungan parti pembangkang adalah dakyah, karut dan fitnah semata-mata.

Janganlah tunggu sampai “Jeneral UMNO” bertempik dan berteriak, barulah kelam-kabut hendak ‘menghidupkan enjin’. Jenterajentera, tidak kira sayap Puteri, Pemuda, badan-badan yang berkait rapat dengan 

UMNO sepatutnya sudah berani mengharungi cabaran. Mereka perlu menjadi matador untuk berdepan dengan seladang di dalam gelanggangnya!

Pakatan pembangkang pun sendiri mengakui bahawa kemenangan ‘sipi’ mereka di Manek Urai bulan lepas boleh menjadi titik permulaan kecundangnya pakatan untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Gara-gara itulah, pelbagai usaha parti pembangkang telah dilipat-gandakan untuk terus memporak-perandakan negara.

Pakatan pembangkang kelam-kabut

Lantaran itu, kita melihat senario demonstrasi jalanan “diorkestrakan” sekali lagi oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Tunjuk perasaan ini sebenarnya hanyalah sekelumit usaha terdesak puak-puak tertentu untuk meraih sokongan murahan. Caranya ialah dengan mengekalkan ‘momentum kebencian rakyat’ terhadap pemerintah di samping mengalih perhatian terhadap isu dalaman mereka sendiri.

Menganjurkannya di tempat awam tatkala pandemik H1N1 berleluasa, kita tertanya-tanya juga ke mana perginya ‘akal’ penganjur dalam usaha membantu menangani penularan wabak itu?

Bukannya kita tidak tahu tujuan mereka yang sengaja mahu mewujudkan persepsi ‘ramai rakyat yang menyokong’. Walhal, pihak polis sebenarnya sudah berlembut mencadangkan perhimpunan diadakan di tempat tertutup.

Namun mereka sedar, jika dilakukan perhimpunan di tempat tertutup seperti di Stadium Melawati ketika protes harga minyak, akan “pecah tembelang”. Jumlah yang sebenarnya hadir tidak sebanyak mana. Kalau di tempat awam, yang hadir 5,000 boleh mudah-mudah didakwa bagaikan 500,000!

Sudahlah isu ‘kerajaan perpaduan’ yang menyaksikan Datuk Nik Aziz Nik Mat seperti menggunakan pengaruh veto menidakkan kehendak kepimpinan tertinggi Pas masih bersisa.

Kini tidak berhenti-henti pula, kenyataankenyataan yang memening dan mengelirukan dikeluarkan. Kenyataan yang dikeluarkan bagaikan lebih kepada ‘cakap berlapik’ dan ‘ menjaga hati’ daripada keperluan menjaga maruah dan hak kesucian Islam.

Alasan kononnya mahu berdakwah, tetapi adakah hingga mencerca dan memfitnah ahli-ahli agama seperti Tan Sri Harussani Zakaria dan penceramah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee.

Bukankah bila sampai tahap tertentu seperti membabitkan maruah, seorang Islam patut bangkit mempertahankan saudara dan agamanya? Apalagi yang bertaraf ahli agama! Maaf jika kata-kata ini kasar, tetapi sikap mereka ini kadang-kadang seperti bacul!

Ambil peluang jelaskan pada rakyat

Melihat situasi ini, jentera kerajaan perlulah beristiqamah, teliti dan berani mengambil peluang yang ada untuk membukti dan menjelaskan bahawa kerajaan BN adalah pilihan terbaik berbanding pakatan pembangkang yang serba porak-peranda.
Setelah ‘kejayaan’ di Manek Urai, waktuwaktu beginilah pakatan pembangkang perlu digegarkan terus-terusan agar “momentum kesedaran” tidak terhenti begitu sahaja. Perak telah diambil semula oleh BN. Kini jadikanlah 

Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sebagai sasaran.

Namun, jangan pula diabaikan tanggungjawab yang sudah ada di tangan kerana ia adalah elemen paling penting dalam membuktikan kemampuan dan keikhlasan kerajaan BN terhadap kesejahteraan rakyat. Jangan nanti dikata orang cakap sahaja berdegar-degar!
Ibarat belayar, biar sampai ke pulau. Begitu juga apabila menggenggam bara api, biarlah hingga menjadi arang.

Saya laungkan ole-torro-ole agar UMNO terus ikhlas dan gigih berusaha demi agama, nusa dan bangsa!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan
Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive#ixzz3Brd1Xv3e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, May 16, 2009

perjumpaan mahasiswa melayu gpms UITM Kedah 09

Perjumpaan Mahasiswa Melayu yang diadakan dengan jayanya.walaupun kehadiran tidak memuaskan. tapi cukup untuk meneruskan perjuangan kami. berikut adalah gamba2 PMM. terima kasih kepada abg yaakob kita yang sudi meluangkan masa beliau untuk datang ke sini. :